BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 16, 2010

Umno BN pertonton kerakusan kuasa

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Kerajaan Umno Barisan Nasional telah mempertontonkan kerakusan dan keangkuhan kuasa yang melampau, kata Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, tindakan Dewan Rakyat semalam menggantung Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh; Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan beliau sendiri selama 6 bulan merupakan tindakan yang tidak bersandarkan kepada rule of law.

Katanya, prinsip keadilan asasi (natural justice) diabaikan di mana hak mereka berempat untuk mempertahankan diri daripada dakwaan tersebut di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan diabaikan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz sewaktu mencadangkan usul penggantungan tersebut di Dewan Rakyat pada 15 Disember 2010, telah menyatakan:

“…Bahawa Yang Berhormat Tuan Mohamed Azmin bin Ali, Ahli Parlimen kawasan Gombak melalui pemberitahu bersurat bertarikh 6 Disember 2010 dibawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) telah menyentuh tentang keterangan dan surat yang dikemukakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember 2010...

Bahawa Yang Berhormat Bukit Gelugor, Yang Berhormat Subang dan Yang Berhormat Gombak telah melanggar peruntukan Peraturan mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Pilihan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa jua, sebelum Jawatankuasa itu membawa penyata itu kepada Majlis…”

“Namun begitu, saya tidak menyentuh kandungan surat daripada APCO Worldwide yang dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember 2010 dalam pemberitahu surat saya kepada Yang Di-Pertua bertarikh 16 Disember 2010 tersebut ataupun sewaktu berbahas di dalam Dewan,” ujarnya.

Dalam pemberitahu surat tersebut di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1), beliau telah mohon mencadangkan:

“Bahawa Dewan Rakyat membincangkan perjalanan mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada Jumaat, 3 Disember 2010 yang membuat keputusan menafikan hak Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang Parlimen daripada menghadiri prosiding mesyuarat tersebut dan mempertahankan dirinya daripada hal perkara penyiasatan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.”

Sehubungan dengan itu, alasan yang diberi oleh Nazri yang mencadangkan untuk menggantung beliau daripada Dewan tidak boleh diguna pakai kerana saya tidak pernah sesekali menyiarkan kandungan surat APCO tersebut kepada sesiapapun ataupun sewaktu berbahas di dalam Dewan.

Katanya, isu APCO telah berkali-kali dibangkitkan di dalam parlimen yang membawa implikasi kepada kepentingan dan keselamatan negara.

“Apa salahnya sebagai seorang ahli parlimen yang dipilih rakyat, saya membangkitkan urusan yang berkaitan dengan kepentingan dan keselamatan negara?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan Dewan Rakyat untuk menggantung Anwar, Karpal, Sivarasa dan beliau tidak mempunyai asas sama sekali serta tidak menurut prosedur Parlimen.

“Justeru itu, saya dan rakan-rakan di dalam PKR dan Pakatan Rakyat berpendapat bahawa tindakan Dewan Rakyat ini merupakan tindakan yang bermotifkan politik dan bertujuan untuk mengurangkan suara Pakatan Rakyat di dalam Dewan,” ujarnya lagi.

Ini, tambahnya merupakan tamparan kepada pembangunan demokrasi dan keluhuran undang-undang di dalam negara.

Baginya, demokrasi terancam dalam negara akibat pemerintah yang tidak punya hasrat untuk berubah dan tidak mahu mengangkat keadilan serta kebenaran.

“Saya cukup yakin rakyat mampu menilai bahawa Umno BN dengan pemusatan kuasa, tidak menghormati integriti institusi Parlimen dan keangkuhan pemerintah yang korup itu akan menyebabkan Kerajaan Umno BN tumbang pada Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang,” tegasnya yhang juga Ketua Whip PKR. -Hrkh

0 comments: