BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, July 10, 2010

Sepanyol VS Belanda





Sepanyol mungkin mencuri tumpuan kerana berjaya mara ke saingan akhir buat kali pertama, pencapaian terbaik mereka di Piala Dunia setakat ini ialah menduduki tempat keempat pada 1950.

Namun bagi Belanda, ini merupakan percubaan ketiga mereka selepas layak ke perlawanan akhir pada 1974 dan 1978.

Bagaimanapun pujian juga diberikan kepada dua pasukan Eropah ini. Laluan yang dihadapi kedua-duanya bukannya mudah terutama sekali. Masing-masing perlu menempuhi pasukan hebat seperti Brazil, Portugal dan Jerman.

Kedua-dua pasukan dilihat seimbang dengan mempunyai kekuatan mantap di bahagian tengah. Malah Belanda dan Sepanyol merupakan negara yang melahirkan pemain tengah berkualiti yang beraksi di setiap liga utama Eropah.

Esok mungkin peminat bola sepak seluruh dunia akan menyaksikan sendiri pertembungan seimbang antara kedua-dua negara yang dilihat mempunyai kelebihan dan kelemahan yang hampir sama.

Namun kedua-duanya dilihat tidak mempunyai pemain pertahanan yang mantap. Seperti zaman 90-an dengan Belanda berbangga memiliki Jaap Stam manakala Sepanyol pula selesa melihat penampilan Fernando Hierro di hadapan penjaga gol.

Untuk pertemuan penentuan itu, Sepanyol mengharapkan kudrat Carles Puyol dan Pique. Tetapi kedua-duanya mempunyai kelemahan iaitu dari segi faktor usia dan kurang pengalaman. Mamun mereka juga mampu untuk menjaringkan gol melalui tandukan.

The Oranje pula setakat ini menggunakan tiga pertahanan sahaja untuk berdepan lawan kerana mahu menguatkan bahagian tengah. Namun gandingan John Heitinga, Joris Mathijsen dan Giovanni Van Bronckhorst kemungkinan tidak cukup untuk menahan asakan Sepanyol.

Barisan penyerang pula lebih terarah kepada Sepanyol kerana mampu menurunkan penyerang berkembar hasil gandingan Fernando Torres dan David Villa.

Manakala Belanda selesa dengan Robin van Persie selaku penyerang tunggal.

Bagaimanapun permainan total football yang diamalkan oleh Belanda membuktikan mereka tidak akan bergantung sepenuhnya terhadap penyerang bagi memperoleh jaringan. Sesiapa sahaja boleh menjaringkan gol termasuk pemain pertahanan.

Satu lagi kelebihan yang dimiliki oleh Sepanyol ialah mereka mempunyai penjaga gol berpengalaman Iker Casillas iaitu selaku ketua pasukan untuk skuad Piala Dunia kali ini, manakala Belanda mengharapkan aksi Maarten Stekelenburg yang kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

0 comments: